Dikisahkan bahawa
semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah
seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah
kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah S.W.T."
Setelah fakir miskin
itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti
yang masih panas kepadanya. Sebaik saja gadis itu memberikan roti tersebut maka
keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak
gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka Allah S.W.T pun
mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya
sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia
dalam keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu
menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka pada suatu
hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka
keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan
kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat
tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya
dengan gadis tersebut.
Maka setelah
perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan
bagi menggantikan pakaiannya.
Pada suatu malam
apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya.
Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa
dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis
tersebut.
Maka apabila suaminya
menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat
keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang
fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan
dan bukan dengan tangan kiri."
Setelah si suami
berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun
suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari
sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah,
sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka
tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."
Setelah gadis itu
mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia
mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan
bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita sentiasa
menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke
rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita.
Rasulullah S.A.W
telah bersabda yang bermaksud, "Barang siapa menghormati tetamu, maka
sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barang siapa menghormatiku, maka
sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan barang siapa telah menjadi
kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barang siapa menjadikan
kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah S.W.T."
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya
tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk
bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."
No comments:
Post a Comment