IBNU
Kathir berkata “Allah SWT berfirman sambil mengancam orang jahat yang telah
dikurniakan dengan berbagai nikmat dunia, lalu dia mengingkari nikmat-nikmat
tersebut dan menggantikannya dengan kekufuran serta membalasnya dengan
keingkaran terhadap ayat-ayat Allah SWT. Dia juga mengada-adakan terhadapnya
dan menganggap ayat-ayat tersebut hanya ungkapan manusia. Dan Allah telah
menghitung berbagai-bagai nikmat yang telah Dia berikan kepadanya.”
Firman
Allah SWT “Biarkanlah Aku bertindak terhadap orang yang Aku telah
menciptakannya sendirian.” (al-Mudassir: 11)
Ibnu
Kathir berkata “Maksudnya dia lahir daripada perut ibunya seorang diri tanpa
membawa harta dan juga anak. Kemudian setelah itu Allah SWT memberi kepadanya
rezeki.”
Muqatil
berkata ”Biarlah Aku menghadapi dia kerana Aku akan membinasakannya dengan
kebinasaan yang khusus.”
Di
sini terdapat ancaman keras terhadap kederhakaan al-Walid, keingkaran dan
kesombongannya, kerana memperoleh harta dan kemuliaan. Lalu al-Walid berkata:
"Aku adalah orang yang terhormat dan anak daripada golongan yang
terhormat. Tidak ada seorang Arab pun yang setanding dengan aku dan tidak ada
seorang Arab pun yang setanding dengan ibu bapaku."
Allah
SWT telah menghinanya dan menghinakan pula jolokannya, sehingga jolokan itu
tidak membawa makna kerana ia bertukar menjadi celaan kepadanya. Justeru, Allah
SWT menjadikannya sebagai satu-satunya orang yang berada di dalam kejahatan dan
kekejian.
Firman
Allah SWT: Dan anak-anak yang selalu bersama dia, (al-Mudassir: 13)
Mujahid
berkata: Maksudnya anak-anak mereka itu selalu hadir bersamanya dan tidak
keluar untuk berdagang. Urusan dagangan tersebut diuruskan oleh hamba-hamba dan
juga orang-orang yang dibayar oleh mereka, sedangkan mereka sendiri hanyalah
duduk-duduk mendampingi ayah mereka untuk bersenang-senang bersamanya.
Terdapat
khilaf ulama tentang bilangan mereka (anak-anak):
Al-Suddi,
Abu Malik, Ashim bin Umar bin Qatadah menyebutkan: Mereka ini berjumlah 13
orang.
Mereka
berjumlah 10 orang seperti yang disebutkan oleh Ibnu Abbas dan Mujahid.
Al-Maraghi
berkata “Termasuk anak-anak yang selalu hadir bersamanya di Mekah. Mereka
tidak pernah berpisah dengan bapanya, kerana mereka bergantung rezeki kepada
bapa mereka. Ini disebabkan mereka tidak perlu bekerja mencari rezeki kerana
mereka telah memiliki harta yang banyak. Al-Walid pun sukakan mereka dan senang
dengan kehadiran mereka.”
Firman
Allah SWT: Dan Ku lapangkan baginya (rezeki dan kekuasaan) dengan
selapang-lapangnya, (al-Mudassir: 14)
Ibnu
Kathir berkata “Maksudnya, Aku telah berikan kepadanya pelbagai macam harta,
perkakas rumah tangga dan sebagainya.”
Al-Maraghi
berkata “Menurut orang Arab, Tahmid bermakna melapangkan. Contohnya Mahadash
shabiyya (Dia melapangkan rezeki kepada si anak). Aku lapangkan rezeki
kepadanya, dan aku luaskan kehormatan. Sepatutnya dia bersyukur kepada Allah
SWT terhadap nikmat yang diberikan kepadanya tetapi dia ingkar kepada Tuhannya,
sehingga dia berpaling daripada seruan dakwah dan menyombongkan diri. Dia telah
membalas nikmat dengan kekafiran dan membalas kurnia dengan keingkaran serta
kederhakaan.”
Firman
Allah SWT: “Kemudian dia ingin sekali supaya Aku menambahnya. Sekali-kali
tidak (akan Aku tambah), Kerana Sesungguhnya dia menentang ayat-ayat kami.
(al-Quran).” (al-Mudassir: 15-16)
Ibnu
Kathir berkata “ Iaitu orang yang ingkar (kufur) akan nikmat-nikmat Allah
SWT setelah dia mengetahuinya.”
Al-Maraghi
berkata ‘Walaupun dia bersikap tidak mahu mentaati Allah SWT tetapi dia
masih lagi mengharapkan harta dan anaknya bertambah.”
Ayat ini juga
mengandungi petunjuk bahawa kekafiran al-Walid adalah kekafiran yang berbentuk 'inad.
Ini disebabkan dia telah mengetahui kebenaran itu dengan hatinya tetapi dia
masih mengingkari dengan lidahnya. Inilah kekafiran yang paling nyata.